Hentikan pelaksanaan AES hingga kajian selesai kata KASE

September 20, 2013  
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mendesak kerajaan supaya hentikan serta merta perlaksanaan AES sehingga semua kajian mengenainya selesai.

Tambah-tambah lagi apabila kerajaan mengumumkan pengambilalihan dua syarikat konsesi melalui syarikat kerajaan AES Solution Sdn Bhd.
Pengerusi KASE,  Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengulas kenyataan  Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengumumkan bahawa perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diambilalih oleh Kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu AES Solution.

 Walau bagaimana pun terdapat beberapa isu yang mengelirukan timbul di dalam pengumuman tersebut, kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.
"Saya melihat pengumuman tersebut adalah suatu pengumuman pra-matang kerana kajian terperinci oleh jawatankuasa pemandu masih belum selesai," kata Mahfuz.
Kerajaan mengumumkan bahawa AES Solution Sdn Bhd akan mengambil pegangan (share) di dalam kedua-dua syarikat tersebut secara berperingkat.
"Ini lebih menimbulkan persoalan. Kenapa syarikat berkaitan kerajaan AES Solution Sdn Bhd perlu mengambil pegangan saham kedua-dua syarikat tersebut?" soal Mahfuz.

Selama ini, katanya, yang dipertikaikan ialah kenapa penguatkuasaan undang-undang perlu dilibatkan syarikat swasta.
"Sekiranya AES Solution Sdn Bhd mengambil pegangan saham (share) di dalam Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, ianya masih sama kerana perlaksanaan AES masih dilibatkan pihak swasta walaupun ianya syarikat berkaitan kerajaan," kata Mahfuz.

Malah dengan cara ini, katanya, jelas bahawa Kerajaan sedang “bail-out” syarikat Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.
Mahfuz juga mempertikaikan kenapa kerajaan tidak menjelaskan status saman-saman yang telah dikeluarkan sejak AES dilaksanakan pada 22 September 2012.

Pemangku Menteri hanya menyatakan status saman-saman tersebut hanya akan dibawa ke Jemaah menteri untuk dibincangkan tetapi dalam masa yang sama menggesa penerima saman membayar kompaun yang telah dikurangkan sebanyak 50%.

"Ini suatu tindakan terdesak Kerajaan untuk memeras duit rakyat yang sudah sedia tertekan dengan rasionalisasi subsidi minyak yang menyebabkan harga minyak Ron95 naik 20sen. Jika saman-saman masih belum diputuskan statusnya kenapa perlu dibayar kompaun yang ditawarkan.
"Adakah tindakan ini adalah sebahagian kaedah kerajaan mendapatkan duit untuk membayar pampasan kepada syarikat?" katanya.

Menurut Mahfuz, sejak tahun 1995 PDRM telah dibekalkan secara berperingkat kamera perangkap laju dan sehingga tahun 2012 jumlahnya adalah sebanyak 124 unit di mana 85 unit model Laser Digicam yang bernilai RM173,925.00 seunit dan model Laser Trucam berjumlah 39 unit yang bernilai RM223,500.00 seunit.
Sejak dari 1995 juga kadar kemalangan tidak menurun malah meningkat begitu mendadak walau pun PDRM telah dibekalkan dengan kamera berteknologi tinggi.

Malah, katanya, PDRM juga gagal menguruskan saman-saman yang telah mereka keluarkan sehinggakan pada awal bulan yang lepas Ketua Polis Negara mencadangkan untuk membatalkan lesen memandu bagi 1.7 juta pemilik saman tertunggak.

"Sekarang AES pula hendak diserahkan operasinya kepada PDRM. Apakah jaminan PDRM boleh menguruskan AES lebih baik? Adakah selama AES dikuatkuasakan JPJ telah gagal menjalankan tugas mereka dalam operasi AES sehinggakan perlu diserahkan kepada PDRM?" soal Mahfuz.
Beliau juga bertanya, berapa kos pampasan dan bagaimana pampasan dibuat?

Kerajaan telah memasuki Perjanjian bersama dua (2) syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan.
Apabila diumumkan bahawa kerajaan mengambil alih operasi, ini bermaksud kerajaan terpaksa membatalkan perjanjian dengan syarikat.
Akibat pembatalan perjanjian, kerajaan terpaksa membayar pampasan dan kos-kos terlibat.

"Pemangku Menteri hanya memberikan jaminan tiada pihak mengaut keuntungan, tetapi bagaimana pampasan akan dibuat untuk mengelakkan keuntungan? " soalnya.
Menurut Mahfuz, perlu diambil perhatian bahawa Kerajaan mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kos penyediaan AES oleh syarikat ialah sebanyak RM717 juta.

Mengikut Model Kewangan Dengan Formula Tiga Langkah yang dipersetujui kedua-dua pihak, syarikat akan menjana sekurang-kurangnya RM769.6 juta setahu dan selama lima (5) tahun syarikat berupaya menjana RM3,848 juta.
"Jadi berapa sebenarnya jumlah yang akan dibayar oleh Kerajaan, adakah RM717 juta atau RM3,848 juta?" soalnya lagi.
Menurut Mahfuz, sejak AES dilaksanakan, KASE mendesak di luar dan di dalam Parlimen agar kerajaan dedahkan butiran perjanjian untuk dilihat dan dinilai oleh rakyat kerana perlaksanaan AES ini melibatkan rakyat secara langsung.

Kerajaan bertegas bahawa perjanjian adalah rahsia sehingga hari ini kerajaan akan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat.
Jadi adalah wajar kerajaan dedahkan isi perjanjian kerana ianya bukan sesuatu yang melibatkan keselamatan negara, tegasnya. - 20 September, 2013.
The Malaysian Insider

Posting Komentar