Anak Saksi Ayah Maut Depan Mata


SEORANG budak lelaki berumur 10 tahun menyaksikan ayahnya meninggal dunia di hadapan matanya sendiri ketika rumah keluarga mereka runtuh dibadai angin kencang Taufan Haiyan di Filipina.

Kedua-dua mereka tinggal di rumah selepas ibunya dan tujuh lagi adik-beradiknya diterbangkan ke Pusat Pemindahan Sementara.

Ketika air banjir mula memasuki rumah, budak lelaki itu Rafael dan bapanya mengambil keputusan untuk melarikan diri namun ayahnya dihempap oleh dinding rumah yang runtuh.

“Darah ayah saya di merata-rata tempat, saya cuba membangunkannya semula tetapi dia sudah tidak bergerak lagi,” kata Rafael.

Beliau berkata air banjir semakin meningkat, dan terdetik dihatinya untuk mengangkat ayahnya keluar dari rumah itu tetapi bimbang kedua-dua mereka bakal lemas dan mati.

“Saya berasa sangat takut dan saya menangis saat itu,” katanya menceritakan kembali detik trauma itu.
Rafael kemudian berjaya berpaut pada sebatang kayu balak yang hanyut sebelum tertidur keletihan.

“Amat menakjubkan, apabila saya terjaga saya menyedari saya berada di sebuah perkampungan lain yang bukan kampung saya,” katanya.

Rafael kemudian menjejaki semula ibu dan tujuh adik-beradiknya yang lain..

Mereka ini tinggal di dalam sebuah van kerana bau di dalam bangunan pusat pemindahan terlalu busuk serta tidak sesuai untuk didiami.

“Kami sering sakit, adik-adik saya kerap batuk kerana cuaca sejuk dan kami tidak ada pakaian yang kering. Kami tidak bawa apa-apa bersama,” menurut Rafael memetik laporan Metro UK.

Di Tacloban City, tempat tinggal Rafael taufan Haiyan telah memusnahkan rumah, sekolah dan lapangan terbang menyebabkan ribuan manusia di Filipina tiada tempat tinggal.

Ada pihak yang menggelarkan mereka yang terselamat akibat Taufan Haiyan kini seperti zombie (mati hidup semula) kerana mereka bertungkus lumus mencari bekalan asas untuk terus hidup sementara bantuan terus tiba untuk mangsa bencana alam itu.

Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS 

Posting Komentar