3 Sahabat Terlepas Hukuman Mati


KUALA TERENGGANU – Tiga sahabat dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang kenalan mereka pada 2012.

Tertuduh, Muhammad Amirnuddin Mohd Padzli, 21, Mohd Hafizi Helmi Mohd Saleh, 22, dan Mohd Izadin Ismail, 24, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, Ahmad Tamimi Juhari, yang berusia 25 tahun semasa kejadian.

Kesalahan dilakukan di tepi jalan besar Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 8 Ogos 2012, kira-kira jam 2 pagi.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan iaitu Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana membunuh tanpa niat.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Sebaik Mohd Yazid membacakan keputusan kes, beberapa ahli keluarga terdekat ketiga-tiga tertuduh yang berada di dalam kamar mahkamah menangis teresak-esak dan berpelukan sesama sendiri.

Sebelum ini, media melaporkan gara-gara perselisihan faham dan dendam, seorang buruh maut setelah dipukul dengan objek keras dalam satu pergaduhan di Kampung Tajin, Hulu Terengganu.

Dalam kejadian itu, mangsa didatangi tiga lelaki yang bertindak membelasahnya berhampiran sebuah bengkel motosikal.

Kejadian dipercayai rentetan perselisihan faham antara mangsa dengan seorang daripada suspek beberapa jam sebelum itu dan kerana tidak berpuas hati, suspek kemudian membawa dua rakannya membelasah mangsa.

Mangsa juga dipercayai dihentak ke lantai dan dipukul sehingga pengsan sebelum diseret dengan motosikal sejauh 700 meter dan dicampak di hadapan rumahnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini. - Sinar Harian Online

Posting Komentar