10 000 Korban Taufan Haiyan


Tacloban – Sehingga 10,000 dipercayai maut di satu bandar di Filipina selepas ribut terburuk direkodkan di negara itu membawa angin kencang dan ombak kuat yang memusnahkan rumah serta sekolah.

Mayat bergelimpangan di atas pokok dan jalan manakala orang ramai berebut-rebut mencuri makanan, air serta bahan bakar di kedai runcit serta stesen minyak.

Pihak berkuasa menganggarkan kadar kematian meningkat apabila gerakan mencari dan menyelamat sampai di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

Taufan Haiyan adalah bencana alam paling buruk melanda Filipina, negara yang sering berdepan ancaman gempa bumi, gunung berapi dan ribut taufan.

Haiyan membadai kawasan timur kepulauan Filipina Jumaat lalu sebelum menghala ke arah Laut China Selatan melalui kepulauan tengah dengan kekuatan angin 235 hingga 275 kilometer sejam (kmsj) serta ombak setinggi enam meter.

Tahap kemusnahan hanya dapat dilihat sepenuhnya semalam dengan Pulau Leyte dikenal pasti yang paling teruk dibadai taufan itu apabila 10,000 dikhuatiri mati di Tacloban saja. Ratusan lain turut dipercayai mati di kepulauan berhampiran.

“Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang kami melihat banyak mayat yang ditutup dengan pelbagai benda termasuk papan kadbod dan penutup siling,” kata Mila Ward, 53, yang menunggu di lapangan terbang Tacloban untuk menaiki pesawat tentera pulang ke Manila.

Menurutnya, dia melihat lebih 100 mayat sepanjang jalan itu.

Orang ramai dilihat menangis sambil menarik mayat anggota keluarga mereka dari kediaman yang musnah. Satu bangunan besar juga dilihat hanya tinggal rangka manakala sisa-sisa pokok dan sampah-sarap berteraburan di sekitarnya.

Lapangan terbang di Tacloban, 580 kilometer (km) di tenggara Manila, turut dipenuhi sampah, kereta yang terbalik dan bumbung bangunan yang diterbangkan angin memasuki pekarangannya.

Tingkap di menara lapangan terbang itu juga hancur manakala helikopter tentera dilihat terbang keluar serta masuk membawa bantuan.
Rumah penduduk sepanjang jalan memasuki Tacloban juga musnah sepenuhnya.
“Semua sistem menandakan kehidupan moden – komunikasi, tenaga dan air – tidak boleh digunakan. Tiada langsung cara untuk berhubung dengan mangsa,” kata Setiausaha Dalam Negeri Mar Roxas selepas melawat Tacloban, kelmarin.

Taufan Haiyan turut mengakibatkan kemusnahan teruk di sekurang-kurangnya enam daripada 7,000 kepulauan negara itu dengan Leyte, Pulau Samar dan bahagian utara Cebu paling teruk terkesan.
Ia dijangka melanda Vietnam, hari ini.- AFP

Lebih 290 000 bekas askar tiada pencen ada yang merempat

Aedi Asri
KUALA LUMPUR 23 FEB: Kebanyakan bekas tentera hidup menderita biarpun banyak menabur jasa kepada tanah air, hinggakan sebahagian mereka merempat termasuk mendiami rumah kongsi di kebun pisang manakala lebih 290,000 orang pula tidak menerima pencen.

Pengerusi Kerabat Melaka, Kolonel (B) Hashim, berkata lebih 290,000 bekas tentera tidak menerima pencen di seluruh negara, menyebabkan mereka hidup melarat tanpa pembelaan.
“Lebih 50 tahun Umno BN memerintah, tiada inisiatif membanggakan kepada bekas perajurit terutama bagi 290,000 bekas tentera yang tidak berpencen.

“Apa yang Umno BN buat berpuluh-puluh tahun? Bekas perajurit tiada pembelaan, nasib mereka terumbang-ambing. Jadi, buat apa sokong mereka. Baik sokong Pakatan yang membela kita,” katanya.
kerabat au2 
Malah, Pengerusi Kerabat Kelantan, Mejar (B) Yusof, berkata ada bekas tentera yang hidup merempat, tidak sepadan dengan status sebagai pejuang negara yang digembar-gembur di media massa.
“Bila bersara, siapa pun tidak peduli. Saya pernah bertemu beberapa pesara, tinggal dalam ‘kongsi’ kebun pisang. Menitis air mata melihat keperitan hidup mereka.
“Anak, cucu, menantu, semua tinggal dalam kebun. Beginikah nasib tentera? Adakah ini yang kita mahu?” katanya.

Mereka berucap demikian pada Himpunan Agung Kerabat (HAK) di Padang Awam, AU2 Keramat semalam yang dihadiri kira-kira 3,000 orang termasuk bekas tentera dari seluruh negara.
Pengerusi Kerabat Perak, Zulkifli Ali, pula berkata penderitaan, kekecewaan dan masalah kebajikan tentera mendorong ramai bekas tentera termasuk pimpinan tertinggi, menyertai Pakatan Rakyat.
“Kira-kira 80 peratus bekas tentera di Perak menyokong Pakatan. Inilah masa paling sesuai bagi bekas tentera yang diabai untuk sama-sama berjuang menjatuhkan Umno BN,” katanya.

Turut berucap Presiden Kerabat, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Leftenan Muda Sim Tze Zin dan Timbalan Presiden PAS dan juga Penaung KERABAT, Mohamad Sabu.
*** Gambar ihsan Harakah Daily – Editor
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?