Pegawai Kanan Polis Wanita Dituduh Sengaja Lepaskan Tahanan Di P Pinang


GEORGETOWN – Seorang Asisten Superitendan Polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan termasuk satu pertuduhan sengaja melepaskan seorang tahanan.

Bagi pertuduhan pertama, pegawai wanita terbabit L. Chand Kumari, 56, yang berkhidmat lebih 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 45, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Okt lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 225A (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada kira-kira 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam R.S.N. Rayer dan V. Parthipan.

Terdahulu, Parthipan mengemukakan pemohonan supaya mahkamah melarang sebarang liputan media untuk kes itu bagi menjaga kepentingan tertuduh dan keluarganya kerana tertuduh merupakan seorang pegawai kanan polis.

Bagaimanapun Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar menolak permohonan itu dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 25 Nov sebagai tarikh sebutan semula.


sumber:

SUARAM desak kerajaan terima keputusan kes Kugan dan mulakan pembaharuan polis

Oleh Hasbullah Awang Chik
July 01, 2013
Badan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hari ini mengingatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar menerima keputusan Mahkamah Tinggi mengenai A. Kugan dan memulakan pembaharuan terhadap pasukan polis.

SUARAM mengingatkan Zahid mengenai hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam artikel 3 Deklarasi Hak Manusia Sejagat (UDHR) dan artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan “Tiada orang yang boleh diambil nyawa dan hartanya melainkan berdasarkan peruntukan undang-undang”.

“Adakah polis dan menteri yang bertanggungjawab mengambil berat berhubung hak asasi ini?," kata Koordinator SUARAM R. Thevarajan dalam satu kenyataan hari ini.

“Kes kematian Kugan sewaktu dalam tahanan polis jelas melambangkan polis telah bertindak ganas dan menyalahgunakan kuasanya.Gambar dan video Kugan sewaktu di bilik mayat kini tersebar luas di Internet di mana terdapat darah dan buih keluar daripada mulutnya,” tambah beliau.

SUARAM turut menggesa kerajaan bertanggungjawab dan melakukan pembaharuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kredibiliti kerajaan bakal terjejas di mata rakyat apabila mengemukakan rayuan terhadap keputusan penghakiman berkenaan.

Kerajaan dan polis harus menerima keputusan mahkamah dan mengambil sepenuh tanggungjawab menyebabkan kematian tahanan semasa pengawasan mereka.
Minggu lalu, Zahid memberitahu kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham berhubung dengan kematian Kugan.

Singham dalam penghakimannya berkata Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menjadi Ketua Polis Selangor pada ketika itu bertanggungjawab atas kematian Kugan empat tahun lalu.
Mahkamah telah mengarahkan pihak yang berkenaan membayar sejumlah RM851,700 kepada ibunya, N. Indra atas penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh keluarga mangsa. - 1 Julai, 2013.TMI